Halangan & Cabaran Industri Pelancongan Di Malaysia

              Setiap industri mempunyai halangan dan cabarannya yang tersendiri. Industri pelancongan di Malaysia juga turut tidak terkecuali. Dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini, industri pelancongan di Malaysia menempuh pelbagai halangan dan cabaran yang hadir dalam pelbagai bentuk dan situasi. Peristiwa kehilangan pesawat MH 370 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 yang melibatkan 239 orang penumpang dan anak kapal telah memberikan impak yang sangat besar kepada industri pelancongan negara di mana kesannya dapat dilihat dengan berlakunya penurunan pelancong dari China yang memasuki Malaysia. Begitu juga apabila berlakunya insiden pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu, Sabah pada tanggal 1 dan 2 Mac 2013 telah memberikan satu persepsi negatif kepada para pelancong asing malah domestik terutamanya dari aspek keselamatan. Kejayaan atau kegagalan sesebuah destinasi pelancongan adalah bergantung kepada kebolehan untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada pelancong, di mana aspek ini adalah lebih penting berbanding aktiviti ekonomi dan perkhidmatan yang lain.[1] Ancaman keganasan, penyakit, bencana alam termasuk kemalangan dan penipuan yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini memerlukan pihak penyedia perkhidmatan pelancongan lebih prihatin, proaktif dan konsisten dalam menyediakan prosedur dan langkah keselamatan untuk memastikan percutian pelancong lebih terjamin.[2]

            Kenyataan – kenyataan tidak bertanggungjawab dan tidak tepat dari pihak – pihak tertentu turut mempengaruhi keupayaan industri pelancongan untuk berkembang. Contohnya kenyataan daripada bekas Perdana Menteri Singapura, Lim Kwan Yew dan ditokok tambah oleh akhbar dari Singapura bahawa Johor Bahru tidak selamat untuk dilawati berikutan banyak kes kehilangan kereta yang melibatkan warga negara tersebut.[3] Isu pencemaran alam sekitar turut menjadi penghalang kepada pembangunan industri pelancongan di Malaysia. Pencemaran air, udara dan tanah yang berpunca daripada aktiviti pembangunan dan kerakusan sifat manusia boleh menjejaskan aktiviti dan promosi pelancongan yang diusahakan oleh pihak kerajaan dan swasta. Sebagai contoh, aktiviti pembalakan haram di hutan – hutan simpan telah menjejaskan aktiviti eko-pelancongan negara. Aktiviti seperti pembalakan haram ini bukan sahaja menjejaskan aktiviti pelancongan, malah turut mengakibatkan pencemaran air dan juga boleh menyumbang kepada berlakunya kejadian tanah runtuh dan banjir kilat. Pembangunan tidak seimbang turut mempengaruhi industri pelancongan negara sebagaimana yang berlaku di Pulau Pinang berikutan aktiviti pembangunan di kawasan lereng bukit yang telah mengakibatkan kejadian banjir di Georgetown dan sebahagian jalan menuju ke Batu Ferengghi turut runtuh.[4] Kestabilan politik dalam negara turut menyumbang kepada kehadiran pelancong. Negara yang mempunyai suasana politik yang stabil akan menimbulkan keyakinan kepada pelancong untuk mengunjungi negara tersebut. Kejadian – kejadian berunsurkan politik seperti ‘Perhimpunan Bersih 5.0’ dan tindakan provokasi oleh kumpulan ‘Baju Merah‘ sebenarnya telah memberikan satu gambaran negatif terhadap kestabilan politik negara. Gambaran negatif ini amat memberikan kesan kepada industri pelancongan kerananya ianya akan mempengaruhi keputusan para pelancong asing untuk mengunjungi Malaysia ekoran faktor keselamatan.



<----- Baca sebelumnya                                                                                                            Kembali




[1] Logeswaran Tangavello et.al (2015). Isu Keselamatan Dalam Industri Pelancongan : Satu Tinjauan Konsep, Geografia Online Malaysia Journal of Society and Space 11 Issue 1. hlm.33

[2] Ibid

[3] Hanirah Mohamad Nur (2007). Persepsi Pelancong Terhadap Aspek Keselamatan ( Kajian Kes : Daerah Johor Bahru ), Tesis Ijazah Sarjana Sains ( Perancangan Pelancongan ), Universiti Teknologi Malaysia. hlm.4

[4] Utusan Online, ‘Banjir kilat melanda lagi’. Diakses dari http://www.utusan.com.my/berita/nasional/banjir-kilat-melanda-lagi-1.404948





Sistem Sokongan & Langkah - langkah Oleh Kerajaan & Swasta Dalam Pembangunan Industri Pelancongan


            Dalam memastikan industri pelancongan negara terus berdaya saing dan berada di landasan yang tepat sebagai sebahagian daripada sektor pemacu ekonomi negara, pelbagai bentuk sistem sokongan dan langkah – langkah proaktif telah dirangka dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan disokong oleh pihak swasta. Di pihak kerajaan, tumpuan untuk membangunkan industri pelancongan telah bermula pada tahun 1959 menerusi penubuhan Jabatan Pelancongan yang bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Malaysia. Kemudian pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan sebagai tanda sokongan dan kesungguhan pihak kerajaan dalam memajukan industri pelancongan di Malaysia. Sejak dari itu, kementerian ini telah melalui beberapa fasa pertukaran nama seperti Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan ( MoCAT ) pada 20 Mei 1992 dan Kementerian Pelancongan Malaysia ( MoTour ) pada April 2004. Pada 15 Mei 2013, sekali lagi kementerian ini diberi nama baru dengan dikenali sebagai  Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia ( MOTAC ). Nama baru ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada peranan dan fungsi kementerian ini dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia menerusi slogan “ Malaysia, Truly Asia  “.[1]

            Dengan visi, misi dan objektif untuk memacu sektor pelancongan dan kebudayaan yang berdaya saing dan lestari demi pembangunan sosio-ekonomi negara, pelbagai langkah, pendekatan dan program telah dirangka oleh pihak kementerian. Di peringkat awal, pihak kerajaan telah mengambil langkah menubuh dan menambaikan infrastruktur – infrastruktur asas yang mempunyai kaitan dengan industri pelancongan. Kompleks Maklumat Pelancong Malaysia ( MATIC ) telah ditubuhkan pada tahun 1989 yang berfungsi sebagai pusat penyebaran maklumat setempat untuk pelancong tempatan dan asing. Selain itu, kerajaan turut mengambil langkah untuk memperbaiki kemudahan untuk ke taman-taman negara di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, menyediakan kemudahan tambahan di destinasi-destinasi pelancongan yang digemari ramai seperti tempat peranginan Pulau Besar di Melaka, Kompleks Pelancongan Bersepadu Desaru di Johor dan Kompleks Pelancongan Tasik Kenyir di Terengganu serta pemuliharaan budaya tradisional melalui pembesaran pusat-pusat kraftangan seperti Perkampungan Budaya Sarawak. Penambahbaikan turut dilakukan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, menaikkan taraf Lapangan Terbang Pulau Langkawi, pembinaan semula jeti - jeti di kawasan pelancongan utama seperti di Kuala Tahan, Pulau Langkawi dan Pulau Tioman, serta kerja-kerja membaiki jalan-jalan dan laluan utama keretapi di negara ini.[2]

Dalam Rancangan Malaysia Ke – 10 ( RMK - 10 ) iaitu perancangan untuk tahun 2010 hingga 2015, kerajaan telah memberikan fokus khusus terhadap industri pelancongan dengan sasaran utama adalah untuk memperbaiki kedudukan Malaysia  agar menjadi antara 10 negara teratas di dunia dari segi pendapatan pelancongan global. Oleh yang demikian, beberapa strategi utama telah dirangka dengan tumpuan akan diberikan untuk menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi dan memperluas pasaran daripada negara yang mempunyai pertumbuhan tinggi, terutamanya  Rusia,  India,  China  dan  Timur  Tengah di  samping  meningkatkan  bilangan  ketibaan pelancong.[3] Strategi utama yang dilaksanakan adalah :

  • Menggalak  pendekatan  strategi  berbeza  bagi  memenuhi  corak  dan  keperluan  pelancong  yang unik  dan  tersendiri  seperti  cabaran  alam  semula  jadi  ( termasuk  eko-pelancongan ),  kepelbagaian budaya, keriangan keluarga, kemewahan mampu biaya, dan Persidangan, Insentif, Konvensyen dan Pameran ( MICE )

  • Menambah  baik  produk  pelancongan  melalui  pembangunan  kluster  pelancongan  berfokus yang akan memanfaatkan produk pelancongan sedia ada dan produk pelancongan ikonik baru. Contohnya, Langkawi ( Geopark dan Taman Laut Pulau Payar ), Pulau Pinang ( Bandaraya George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO ), Sabah ( Pulau Sipadan dan Taman Kinabalu Tapak Warisan Dunia UNESCO ) dan Sarawak ( Kampung Budaya Sarawak dan Taman Negara Gunung Mulu Tapak Warisan Dunia UNESCO )

  • Membangunkan  produk  pelancongan  ikonik  yang  baru  melalui  penglibatan  sektor  swasta  dan kerjasama  awam-swasta.  Antara  projek  ikonik  tersebut  adalah  Kidzania  dan  Malaysia  Truly  Asia Centre di Kuala Lumpur dan Legoland Malaysia di Iskandar Malaysia, Johor. Produk dan aktiviti pelancongan seperti taman dan kebun bunga, pelancongan seni, membeli-belah, serta acara dan festival utama juga akan dipromosikan

  • Menambah  baik  penyelenggaraan  tempat  pelancongan  melalui  pelbagai  pendekatan,  termasuk melalui  penajaan  GLC  dan  korporat,  penguatkuasaan  yang  lebih  ketat  dan  pengenaan  bayaran masuk, terutamanya di kawasan alam sekitar yang sensitif dan tapak warisan. [4]
  • Menjajar semula aktiviti promosi dan pengiklanan serta kewujudan pejabat Tourism Malaysia di luar negara dengan memberi tumpuan kepada pasaran utama khususnya Rusia, India, China dan Timur Tengah; dan

  • Memperkenal pensijilan produk dan aktiviti pelancongan secara progresif bagi memastikan kualiti, kemampanan dan keselamatan.[5]

Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia turut mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa program selaras dengan strategi –strategi pembangunan industri pelancongan yang telah dirancang. Program ‘Malaysia My Second Home ( MM2H )‘ merupakan satu program yang dipromosikan oleh pihak kementerian bagi menggalakkan warga asing warga asing yang memenuhi kriteria tertentu, untuk tinggal di Malaysia untuk seberapa lama yang boleh menerusi pas lawatan sosial pelbagai kemasukan. Untuk permulaan, pas lawatan sosial untuk  tempoh sepuluh tahun akan diberikan dan ianya boleh diperbaharui. Program MM2H ini dibuka kepada warganegara semua negara diiktiraf oleh Malaysia tanpa mengira kaum, agama, jantina atau umur. Pemohon dibenarkan membawa pasangan dan anak yang belum berkahwin di bawah umur 21 tahun sebagai tanggungannya sepanjang menyertai program ini.[6] ‘Program Pelancongan Pelajar’ pula merupakan satu program kerjasama antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan telah dilancarkan pada 24 Februari 2001 dengan memfokuskan kepada matlamat utama berikut :

  • Mempromosikan aktiviti pelancongan domestik bagi memupuk budaya melancong di kalangan pelajar agar melancong ke tempat-tempat bersejarah, kebudayaan, eko-pelancongan dan lain-lain;

  • Menghindari gejala-gejala sosial yang semakin meningkat di kalangan pelajar pada masa kini melalui pengisian masa lapang secara bijak dan berfaedah; dan

  • Mewujudkan perpaduan serta meningkatkan integrasi kaum di kalangan generasi muda melalui aktiviti-aktiviti pelancongan dan pengembaraan yang terancang dan teratur bagi mengeratkan hubungan dan interaksi antara pelajar-pelajar berbilang kaum.[7]

Program ‘Pelancongan Pendidikan’ yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan dibantu oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dari aspek promosi pula merupakan program pelancongan dalam suasana pendidikan dengan memfokuskan kehadiran pelajar – pelajar dari luar negara untuk menyambung pengajian di Malaysia, di mana faktor – faktor seperti kestabilan politik, situasi dalam negara yang aman, kemajuan teknologi dan penyelidikan serta kadar tukaran asing yang rendah menjadikan Malaysia persekitaran yang begitu kondusif untuk tujuan pembelajaran. Program ini dilaksanakan dengan matlamat utamanya adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan akademik di rantau Asia Pasifik.[8] Kekayaan hasil bumi Malaysia dalam bentuk pertanian dan perladangan telah mencetuskan idea kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selaku penggerak utama bagi melancarkan Program ‘Agro-Pelancongan’. Menerusi program ini, Malaysia cuba menarik perhatian pelancong asing untuk berkunjung ke negara ini bagi merasai sendiri pengalaman menjalankan aktiviti berkaitan pertanian dan perladangan seperti lawatan ke dusun buah-buahan tempatan, penyelidikan, ‘homestay’ dan sebagainya.[9] Kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pula telah menghasilkan Program ‘ Pelancongan Sukan ‘, di mana fokus program ini adalah untuk menarik pelancong asing datang ke Malaysia bagi menyertai aktiviti sukan samada sebagai peserta mahupun penonton. Seperti diketahui umum, Malaysia sememangnya kini mempunyai fasiliti sukan yang bertaraf dunia seperti Litar F1 Sepang dan juga Kompleks Sukan Negara. Menerusi program ini dan disokong dengan fasiliti yang sedia ada, Malaysia kini semakin giat mempromosikan diri sebagai penganjur dan tuan rumah kepada pelbagai kejohanan sukan dan aktiviti rekreasi bertaraf dunia, seterusnya menjadikan Malaysia destinasi utama pelancongan sukan di rantau Asia Pasifik.[10]

Industri pelancongan negara tidak akan mampu untuk terus berkembang maju tanpa sokongan utuh daripada sektor swasta. Seperti yang diketahui, setiap agenda mahupun apa jua program yang dirancang oleh kerajaan khususnya dalam aspek pelancongan sememangnya memerlukan kos pembiayaan yang tinggi bagi menjayakannya. Oleh yang demikian, peranan dan sumbangan dari sektor swasta amatlah diperlukan terutamanya dalam aspek modal dan kewangan. Sebagai sebuah sektor yang bermatlamatkan menjana keuntungan, sektor swasta di Malaysia melihat industri pelancongan antara prospek terbaik untuk menjana keuntungan. Oleh yang demikian, sektor swasta di negara ini begitu aktif dalam menyokong apa jua usaha kerajaan dalam memajukan industri pelancongan. Sebagai contoh, penglibatan dalam acara sukan seperti perlumbaan Formula Satu di Sepang dan kejohanan lumba basikan Le’Tour de Langkawi. Kedua – dua acara sukan ini merupakan antara program yang dianjurkan oleh kerajaan tetapi menerima penajaan yang cukup besar daripada sektor swasta di Malaysia seperti Petronas yang bertindak sebagai penaja utama bagi perlumbaan Formula Satu. Selain sumbangan dalam bentuk penajaan, sektor swasta turut menyumbang dalam bentuk penyediaan kemudahan, fasiliti dan juga peluang pekerjaan berkaitan industri pelancongan di negara ini. Pembinaan hotel dan homestay di lokasi – lokasi pelancongan di seluruh Malaysia, penyediaan kemudahan pengangkutan seperti bas persiaran, kereta sewa, bot dan feri merupakan antara contoh penglibatan dan sokongan daripada sektor swasta dalam merancakkan aktiviti pelancongan di negara ini.

Bagi menyokong dan menghargai sumbangan dan peranan sektor swasta dalam turut sama menyumbang idea dan tenaga dalam memajukan industri pelancongan di negara ini, pihak kerajaan telah memperkenal dan menyediakan beberapa inisiatif bagi membantu sektor swasta, terutama kepada syarikat dan pengusaha industri pelancongan yang berskala kecil. ‘Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan’ merupakan satu kemudahan pembiayaan pinjaman Dana Pelancongan yang diperkenalkan bagi membantu pengusaha yang ingin membangunkan atau mengembangkan produk – produk yang berasaskan pelancongan dengan menawarkan pembiayaan dari RM5 juta sehingga RM100 juta dalam tempoh pembayaran sehingga 20 tahun.[11] Selain itu, pihak kerajaan turut menawarkan pengecualian cukai kepada syarikat – syarikat pengusaha pelancongan yang mengendalikan pakej pelancongan dalam Malaysia dengan bilangan yang ditetapkan dalam tempoh setahun.[12] Pihak kerajaan turut menawarkan pelbagai jenis kursus kepada para pengusaha industri pelancongan dengan matlamat melahirkan golongan pengusaha industri pelancongan yang profesional, berkemahiran dan berwawasan. Antara kursus – kursus yang ditawarkan adalah ‘We Are The Host ( WATH )’, ‘Eco – Host Malaysia ‘, ‘Hotel Assist On The Go’ dan sebagainya.[13]





<----- Baca sebelumnya                                                                                      Baca seterusnya ----->




[1] Portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, ruangan ‘Profil Kementerian’ http://www.motour.gov.my/

[2] Unit Perancang Ekonomi (1991), Rancangan Malaysia Ke-Enam 1991-1995, Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri. hlm.171

[3] Unit Perancang Ekonomi (2010), Rancangan Malaysia Ke-Enam 2010 - 2015, Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri. hlm.131

[4] Ibid

[5] Unit Perancang Ekonomi (2010), Rancangan Malaysia Ke-Enam 2010 - 2015, Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri. hlm.131

[6] Portal rasmi Malaysia My Second Home, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, http://www.mm2h.gov.my/

[7] Portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, ruangan ‘ Program Kementerian ‘ http://www.motour.gov.my/

[8] Ibid

[9] Ibid

[10] Portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, ruangan ‘ Program Kementerian ‘ http://www.motour.gov.my/

[11] Portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, ruangan ‘ Program Kementerian ‘ http://www.motour.gov.my/

[12] Ibid

[13] Ibid


Sumbangan Industri Pelancongan Terhadap Ekonomi Malaysia

Ketika Malaysia kini dilanda dengan kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa dan menimbulkan pelbagai kegusaran, namun industri pelancongan domestik dan juga sektor eksport telah memperoleh manfaat yang sangat besar. Situasi semasa nilai ringgit yang telah susut dalam lingkungan 20% berbanding nilai Dollar Amerika telah menyebabkan peningkatan kemasukan pelancong asing berikutan harga barangan Malaysia ditawarkan lebih murah berbanding harga pasaran antarabangsa kerana pelancong asing yang berbelanja dengan menggunakan Dollar Amerika di Malaysia dilihat seolah – olah 20% lebih kaya.[1] Industri pelancongan merupakan sebahagian daripada sektor perkhidmatan yang menjadi sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia. Bagi sektor perkhidmatan ini, industri pelancongan menjadi antara penyumbang terbesar bagi tahun 2015, telah mencatatkan hasil terimaan sebanyak RM89 billion menerusi ketibaan 29.4 juta orang pelancong asing ke negara ini.[2]

Sumbangan pelancongan domestik dalam memampankan ekonomi Malaysia sangat penting terutama dalam aspek pengawalan pengaliran keluar mata wang domestik ke luar negara. Pengaliran keluar mata wang tanpa kawalan akan merugikan negara kerana ianya memberikan kesan kepada imbangan bayaran dan juga keseluruhan tingkat pendapatan negara. Statistik tahun 2010 mencatatkan sebanyak 46.8 peratus penduduk Malaysia yang berusia 15 tahun ke atas telah melakukan perjalanan domestik disebabkan oleh faktor seperti musim perayaan, musim cuti persekolahan dan juga penganjuran acara – acara berkala atau tidak berkala dalam skala yang besar di mana perjalanan domestik ini telah mencatatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM34,678 juta.[3]

Industri pelancongan merupakan penjana utama kepada peluang pekerjaan di negara – negara maju berikutan keupayaan sektor ini untuk mempengaruhi suasana ekonomi. Ini adalah kerana industri ini tergolong dalam sektor perkhidmatan yang sememangnya diketahui memerlukan jumlah tenaga buruh samada mahir atau separa mahir yang ramai bagi menampung keperluan pengoperasian dan meningkatkan produktiviti dalam output keluaran. Kemampuan industri menjana jumlah tenaga buruh bagi menampung peningkatan output akan memberi banyak faedah kepada ekonomi negara.[1] Sebanyak 1.7 juta peluang pekerjaan telah dijana menerusi sektor pelancongan pada tahun 2008, di mana ianya telah berjaya mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar ekoran kesan daripada kemasukan pelancong ke Malaysia.[2]




<----- Baca sebelumnya                                                                                     Baca seterusnya ----->                                                                        






[1] Zulkiply Omar (2015). Sumbangan Sektor Pelancongan terhadap Ekonomi , Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia. hlm.1

[2] Ibid. hlm.2

[3] Norma Azuli Mohd Nor et.al(2012). Corak Perjalanan Dan Impaknya Kepada Ekonomi Malaysia Daripada Pelawat Domestik, Prosiding PERKEM VII, Jilid 1 (2012). hlm.653



[4] Nurul Ain Mokhtar, Poo Bee Tin & Norlida Halim Mohd Salleh (2012). Analisis Keperluan 
Tenaga Manusia Dalam Industri Pelancongan Di Malaysia, Prosiding PERKEM VII, Jilid 1 (2012). hlm. 634 

[5] Ibid. hlm.639



Tahap Pembangunan Industri Pelancongan Di Malaysia


             Kegiatan tukaran wang asing yang terhasil semasa kehadiran pelancong ke Malaysia telah menjadikan industri pelancongan sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pembangunan industri pelancongan telah memberikan 5 faedah utama kepada negara iaitu sumbangan kepada imbangan pembayaran negara,  pembangunan kawasan bukan perindustrian, pengwujudan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan kepada keseluruhan ekonomi menerusi impak berganda dan pembangunan sosial.[1] Dari segi menjana peluang pekerjaan, industri pelancongan yang tergolong dalam sektor perkhidmatan menjadi penyumbang penting bagi negara – negara yang sedang membangun seperti Malaysia terutamanya dalam mewujudkan golongan pekerja mahir dan separa mahir dan ini telah membantu penduduk tempatan untuk menambah pendapatan dan seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik.[2]

            Laporan ekonomi tahunan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia telah memberi perincian yang jelas tentang tahap pembangunan industri pelancongan di Malaysia. Penulisan ini memberi perincian berdasarkan kepada laporan ekonomi tahunan Malaysia dari tahun 2013 hingga 2015. Menerusi laporan ekonomi yang dikeluarkan untuk tahun 2013 / 2014, industri pelancongan telah berjaya menarik masuk 26.8 juta pelancong yang majoritinya adalah pelancong dari Indonesia, Singaputa dan China dan telah menjana pendapatan sebanyak 65 billion pada tahun 2013.[3]



 Petunjuk Terpilih Sektor Perkhidmatan ( 200 9 – 2013 )
Sumber : Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
(dalam Laporan Ekonomi Malaysia 2013/2014 : Prestasi Ekonomi & Prospek)


Tahun 2014 merupakan tahun keempat Malaysia melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia yang bertemakan ‘ Celebrating 1Malaysia Truly Asia ‘. Kempen yang mempromosikan warisan, keistimewaan dan kebudayaan Malaysia ini telah berjaya menarik 11.5 juta orang pelancong dalam tempoh 5 bulan pertama 2014 walaupun mencatatkan sedikit penurunan kehadiran pelancong dari China berikutan tragedi MH370 pada Mac 2014.[4] Selain menjadi tumpuan pelancong dari Indonesia, China dan Singapura, Malaysia turut mengekalkan status sebagai destinasi pelancongan halal - friendly kegemaran bagi pelancong muslim dengan mencatatkan 2.2 juta pelancong dalam tempoh 5 bulan pertama berbanding hanya 2 juta orang sahaja pada tahun 2013 bagi tempoh yang sama.[5]




 Petunjuk Terpilih Sektor Perkhidmatan ( 2010 – 2014 )
Sumber : Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
(dalam Laporan Ekonomi Malaysia 2014/2015 : Prestasi Ekonomi & Prospek)
  

            Tahap pembangunan industri pelancongan negara sememangnya berada di landasan yang terbaik dengan mengalami pengembangan yang pesat pada setiap tahun. Ini disebabkan faktor Malaysia tergolong sebagai antara 10 destinasi terbaik pelancongan di dunia dari segi ketibaan pelancong yang telah dicatatkan. Tahap pembangunan industri ini disokong dengan peningkatan peruntukan kewangan oleh kerajaan daripada RM24 juta pada tahun 2009 kepada RM36 juta dalam tahun 2020.[6] Kepesatan pembangunan industri ini adalah disebabkan pembentukan wilayah koridor ekonomi baru pada tahun 2007 iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara, 2007-2025 (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur, 2008-2020 (ECER), Iskandar Malaysia, 2008-2025 (IM), Koridor Pembangunan Sabah, 2008-2025 (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak, 2009-2020 (SCORE) yang memfokuskan kepada strategi dan pendekatan yang tepat dalam usaha memberi keseimbangan  pembangunan terhadap ekonomi Malaysia khususnya menerusi sektor pelancongan.[7]




<----- Baca sebelumnya                                                                                     Baca seterusnya ----- >                                                                          



[1] Ahmad Shuib & Noor Aziz Mohd Nor (1989). Analisis Permintaan Pelancongan Di Malaysia, Pertanika 12(3). hlm.425

[2] Ibid

[3] Laporan  Ekonomi  Malaysia  2013/2014  :  Prestasi  Ekonomi & Prospek , Kementerian Kewangan Malaysia. hlm.84

[4] Laporan  Ekonomi  Malaysia  2014/2015  :  Prestasi  Ekonomi & Prospek , Kementerian Kewangan Malaysia. hlm.74

[5] Ibid

[6] Wan Sunita Wan Ibrahim, Habibah Ahmad & Hamzah Jusoh (2012). Pendekatan Wilayah Pelancongan Di Malaysia : Senario Dari 2008 – 2012, Akademika 82(2) 2012. hlm.87

[7] Wan Sunita Wan Ibrahim et.al (2015). Pelancongan Dan Pembangunan Setempat Di Malaysia : Satu Analisis SWOT Royal Belum Sebagai Produk Ekopelancongan, Geografia Online Malaysian Journal of Society and Space 11 issue 13. hlm.116 

Apa itu PELANCONGAN?

Oleh :
Mohd Faizal bin Abu Bakar
No. Matrix : 242244
SADE1013 : Asas Keusahawanan
Program Pengajian Luar Kampus
Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan ( PACE )
Universiti Utara Malaysia
Pensyarah : Dr Muhammad Shukri Bakar


          Pelancongan adalah perkataan yang begitu sinonim dalam memberi gambaran berkaitan elemen – elemen yang indah, unik, aneh, luar biasa dan istimewa mengenai sesebuah tempat, budaya atau masyarakat di dunia. Hampir kesemua negara di dunia kini memberikan fokus yang serius mengenai industri pelancongan dan berlumba – lumba untuk membangunkan industri ini kerana ia merupakan industri yang menjadi penyumbang kepada ekonomi sesebuah negara. Dari sudut sejarah, pelancongan telah bermula sejak 5000 tahun dahulu yang berpunca daripada perjalanan yang dilakukan dengan tujuan perdagangan, ketenteraan dan urusan pentadbiran oleh empayar – empayar besar pada ketika itu seperti Sumeria, Yunani, Rom, Parsi di rantau Mediterranean dan Timur Tengah.[1] 

  Kamus Dewan Edisi Kedua mentakrifkan pelancongan sebagai hal – hal mengenai urusan melancong atau perbuatan melancong ataupun perjalanan untuk bersenang – senang atau untuk melihat – lihat.[2] Jabil, Ratna, Mazdi dan Rosmiza menyatakan pelancongan adalah “....melibatkan perjalanan seseorang individu keluar dari tempat kediaman untuk suatu tempoh yang tertentu...“[3] Selain itu, pelancongan biasanya melibatkan seseorang atau sekumpulan individu yang melawat atau berkunjung ke sesuatu tempat khusus untuk meninjau dan menikmati keindahan kawasan berkenaan, melawat rakan taulan dan saudara mara dan untuk bercuti.[4] Definisi pelancongan juga merujuk kepada penglibatan seseorang yang keluar dari tempat kediaman asalnya bagi menjalankan pelbagai urusan seperti menghadiri persidangan, melanjutkan pelajaran dan urusan perniagaan dalam tempoh masa tertentu.[5] Dan Stephen J.Page pula menjelaskan pelancongan sebagai,

“ the journey aboard the stay take place outside the normal place of residence and work. So that tourism activities which the distinct from those of the residence and working populations of the places, through which tourist travel and in which they stay..... “[6]

  Secara umumnya, industri pelancongan sama ada di Malaysia mahupun mana – mana negara di dunia merupakan antara industri terbesar dan mampu menjana keuntungan yang luar biasa kepada negara. Di samping itu, industri pelancongan juga menjadi pemangkin kepada kewujudan dan pertumbuhan pelbagai lagi industri yang berkait secara langsung mahupun tidak langsung seperti industri pembuatan, perkhidmatan, makanan, pengangkutan dan sebagainya. Oleh yang demikian, industri pelancongan boleh dirujuk sebagai gabungan di antara pelbagai industri yang akan mencetus dan mewujudkan pelbagai perbezaan dari segi perkhidmatan dan output. Perbezaan ini merangkumi saiz dan jenis industri, lokasi, fungsi, strategi pemasaran dan organisasi pengendali.



Kembali                                                                                                              Baca seterusnya ----->



[1] Yazid Saleh (2008). Kajian ‘Survival’ Warisan Budaya Dalam Sektor Pelancongan Di Negeri Melaka, Jabatan Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. hlm.1

[2] Takrifan mengenai pelancongan menerusi carian di laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka http://prpm.dbp.gov.my

[3] Jabil Mapjabil, Ratna Roshida, Mazdi Marzuki & Rosmiza Mohd Zainol (2015). Pelancongan Islam : Suatu Tinjauan Konseptual Dan Relevannya Di Malaysia, Geografia Online Malaysia Journal of Society and Space 11 Issue 1. hlm.175

[4] Logeswaran Tangavello et.al (2015). Isu Keselamatan Dalam Industri Pelancongan : Satu Tinjauan Konsep, Geografia Online Malaysia Journal of Society and Space 11 Issue 1. hlm.33

[5] Logeswaran Tangavello et.al (2015). Isu Keselamatan Dalam Industri Pelancongan : Satu Tinjauan Konsep, Geografia Online Malaysia  Journal of Society and Space 11 Issue 1. hlm.33

[6] Stephen J.Page (2001). Tourism : A Modern Synthesis, London : Thompson Learning. hlm.27