Tahap Pembangunan Industri Pelancongan Di Malaysia


             Kegiatan tukaran wang asing yang terhasil semasa kehadiran pelancong ke Malaysia telah menjadikan industri pelancongan sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pembangunan industri pelancongan telah memberikan 5 faedah utama kepada negara iaitu sumbangan kepada imbangan pembayaran negara,  pembangunan kawasan bukan perindustrian, pengwujudan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan kepada keseluruhan ekonomi menerusi impak berganda dan pembangunan sosial.[1] Dari segi menjana peluang pekerjaan, industri pelancongan yang tergolong dalam sektor perkhidmatan menjadi penyumbang penting bagi negara – negara yang sedang membangun seperti Malaysia terutamanya dalam mewujudkan golongan pekerja mahir dan separa mahir dan ini telah membantu penduduk tempatan untuk menambah pendapatan dan seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik.[2]

            Laporan ekonomi tahunan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia telah memberi perincian yang jelas tentang tahap pembangunan industri pelancongan di Malaysia. Penulisan ini memberi perincian berdasarkan kepada laporan ekonomi tahunan Malaysia dari tahun 2013 hingga 2015. Menerusi laporan ekonomi yang dikeluarkan untuk tahun 2013 / 2014, industri pelancongan telah berjaya menarik masuk 26.8 juta pelancong yang majoritinya adalah pelancong dari Indonesia, Singaputa dan China dan telah menjana pendapatan sebanyak 65 billion pada tahun 2013.[3]



 Petunjuk Terpilih Sektor Perkhidmatan ( 200 9 – 2013 )
Sumber : Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
(dalam Laporan Ekonomi Malaysia 2013/2014 : Prestasi Ekonomi & Prospek)


Tahun 2014 merupakan tahun keempat Malaysia melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia yang bertemakan ‘ Celebrating 1Malaysia Truly Asia ‘. Kempen yang mempromosikan warisan, keistimewaan dan kebudayaan Malaysia ini telah berjaya menarik 11.5 juta orang pelancong dalam tempoh 5 bulan pertama 2014 walaupun mencatatkan sedikit penurunan kehadiran pelancong dari China berikutan tragedi MH370 pada Mac 2014.[4] Selain menjadi tumpuan pelancong dari Indonesia, China dan Singapura, Malaysia turut mengekalkan status sebagai destinasi pelancongan halal - friendly kegemaran bagi pelancong muslim dengan mencatatkan 2.2 juta pelancong dalam tempoh 5 bulan pertama berbanding hanya 2 juta orang sahaja pada tahun 2013 bagi tempoh yang sama.[5]




 Petunjuk Terpilih Sektor Perkhidmatan ( 2010 – 2014 )
Sumber : Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
(dalam Laporan Ekonomi Malaysia 2014/2015 : Prestasi Ekonomi & Prospek)
  

            Tahap pembangunan industri pelancongan negara sememangnya berada di landasan yang terbaik dengan mengalami pengembangan yang pesat pada setiap tahun. Ini disebabkan faktor Malaysia tergolong sebagai antara 10 destinasi terbaik pelancongan di dunia dari segi ketibaan pelancong yang telah dicatatkan. Tahap pembangunan industri ini disokong dengan peningkatan peruntukan kewangan oleh kerajaan daripada RM24 juta pada tahun 2009 kepada RM36 juta dalam tahun 2020.[6] Kepesatan pembangunan industri ini adalah disebabkan pembentukan wilayah koridor ekonomi baru pada tahun 2007 iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara, 2007-2025 (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur, 2008-2020 (ECER), Iskandar Malaysia, 2008-2025 (IM), Koridor Pembangunan Sabah, 2008-2025 (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak, 2009-2020 (SCORE) yang memfokuskan kepada strategi dan pendekatan yang tepat dalam usaha memberi keseimbangan  pembangunan terhadap ekonomi Malaysia khususnya menerusi sektor pelancongan.[7]




<----- Baca sebelumnya                                                                                     Baca seterusnya ----- >                                                                          



[1] Ahmad Shuib & Noor Aziz Mohd Nor (1989). Analisis Permintaan Pelancongan Di Malaysia, Pertanika 12(3). hlm.425

[2] Ibid

[3] Laporan  Ekonomi  Malaysia  2013/2014  :  Prestasi  Ekonomi & Prospek , Kementerian Kewangan Malaysia. hlm.84

[4] Laporan  Ekonomi  Malaysia  2014/2015  :  Prestasi  Ekonomi & Prospek , Kementerian Kewangan Malaysia. hlm.74

[5] Ibid

[6] Wan Sunita Wan Ibrahim, Habibah Ahmad & Hamzah Jusoh (2012). Pendekatan Wilayah Pelancongan Di Malaysia : Senario Dari 2008 – 2012, Akademika 82(2) 2012. hlm.87

[7] Wan Sunita Wan Ibrahim et.al (2015). Pelancongan Dan Pembangunan Setempat Di Malaysia : Satu Analisis SWOT Royal Belum Sebagai Produk Ekopelancongan, Geografia Online Malaysian Journal of Society and Space 11 issue 13. hlm.116 

No comments:

Post a Comment