Sumbangan Industri Pelancongan Terhadap Ekonomi Malaysia

Ketika Malaysia kini dilanda dengan kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa dan menimbulkan pelbagai kegusaran, namun industri pelancongan domestik dan juga sektor eksport telah memperoleh manfaat yang sangat besar. Situasi semasa nilai ringgit yang telah susut dalam lingkungan 20% berbanding nilai Dollar Amerika telah menyebabkan peningkatan kemasukan pelancong asing berikutan harga barangan Malaysia ditawarkan lebih murah berbanding harga pasaran antarabangsa kerana pelancong asing yang berbelanja dengan menggunakan Dollar Amerika di Malaysia dilihat seolah – olah 20% lebih kaya.[1] Industri pelancongan merupakan sebahagian daripada sektor perkhidmatan yang menjadi sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia. Bagi sektor perkhidmatan ini, industri pelancongan menjadi antara penyumbang terbesar bagi tahun 2015, telah mencatatkan hasil terimaan sebanyak RM89 billion menerusi ketibaan 29.4 juta orang pelancong asing ke negara ini.[2]

Sumbangan pelancongan domestik dalam memampankan ekonomi Malaysia sangat penting terutama dalam aspek pengawalan pengaliran keluar mata wang domestik ke luar negara. Pengaliran keluar mata wang tanpa kawalan akan merugikan negara kerana ianya memberikan kesan kepada imbangan bayaran dan juga keseluruhan tingkat pendapatan negara. Statistik tahun 2010 mencatatkan sebanyak 46.8 peratus penduduk Malaysia yang berusia 15 tahun ke atas telah melakukan perjalanan domestik disebabkan oleh faktor seperti musim perayaan, musim cuti persekolahan dan juga penganjuran acara – acara berkala atau tidak berkala dalam skala yang besar di mana perjalanan domestik ini telah mencatatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM34,678 juta.[3]

Industri pelancongan merupakan penjana utama kepada peluang pekerjaan di negara – negara maju berikutan keupayaan sektor ini untuk mempengaruhi suasana ekonomi. Ini adalah kerana industri ini tergolong dalam sektor perkhidmatan yang sememangnya diketahui memerlukan jumlah tenaga buruh samada mahir atau separa mahir yang ramai bagi menampung keperluan pengoperasian dan meningkatkan produktiviti dalam output keluaran. Kemampuan industri menjana jumlah tenaga buruh bagi menampung peningkatan output akan memberi banyak faedah kepada ekonomi negara.[1] Sebanyak 1.7 juta peluang pekerjaan telah dijana menerusi sektor pelancongan pada tahun 2008, di mana ianya telah berjaya mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar ekoran kesan daripada kemasukan pelancong ke Malaysia.[2]




<----- Baca sebelumnya                                                                                     Baca seterusnya ----->                                                                        






[1] Zulkiply Omar (2015). Sumbangan Sektor Pelancongan terhadap Ekonomi , Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia. hlm.1

[2] Ibid. hlm.2

[3] Norma Azuli Mohd Nor et.al(2012). Corak Perjalanan Dan Impaknya Kepada Ekonomi Malaysia Daripada Pelawat Domestik, Prosiding PERKEM VII, Jilid 1 (2012). hlm.653



[4] Nurul Ain Mokhtar, Poo Bee Tin & Norlida Halim Mohd Salleh (2012). Analisis Keperluan 
Tenaga Manusia Dalam Industri Pelancongan Di Malaysia, Prosiding PERKEM VII, Jilid 1 (2012). hlm. 634 

[5] Ibid. hlm.639



No comments:

Post a Comment