Dalam
memastikan industri pelancongan negara terus berdaya saing dan berada di
landasan yang tepat sebagai sebahagian daripada sektor pemacu ekonomi negara,
pelbagai bentuk sistem sokongan dan langkah – langkah proaktif telah dirangka
dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan disokong oleh pihak swasta. Di pihak
kerajaan, tumpuan untuk membangunkan industri pelancongan telah bermula pada
tahun 1959 menerusi penubuhan Jabatan Pelancongan yang bernaung di bawah Kementerian
Perdagangan Malaysia. Kemudian pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan
Pelancongan telah ditubuhkan sebagai tanda sokongan dan kesungguhan pihak
kerajaan dalam memajukan industri pelancongan di Malaysia. Sejak dari itu,
kementerian ini telah melalui beberapa fasa pertukaran nama seperti Kementerian
Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan ( MoCAT ) pada 20 Mei 1992 dan Kementerian
Pelancongan Malaysia ( MoTour ) pada April 2004. Pada 15 Mei 2013, sekali lagi
kementerian ini diberi nama baru dengan dikenali sebagai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
Malaysia ( MOTAC ). Nama baru ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada
peranan dan fungsi kementerian ini dalam mempromosikan Malaysia sebagai
destinasi pelancongan pilihan dunia menerusi slogan “ Malaysia, Truly Asia “.[1]
Dengan
visi, misi dan objektif untuk memacu sektor
pelancongan dan kebudayaan yang berdaya saing dan lestari demi pembangunan
sosio-ekonomi negara, pelbagai langkah, pendekatan dan program telah dirangka
oleh pihak kementerian. Di peringkat awal, pihak kerajaan telah mengambil
langkah menubuh dan menambaikan infrastruktur – infrastruktur asas yang
mempunyai kaitan dengan industri pelancongan. Kompleks Maklumat Pelancong
Malaysia ( MATIC ) telah ditubuhkan pada tahun 1989 yang berfungsi sebagai
pusat penyebaran maklumat setempat untuk pelancong tempatan dan asing. Selain
itu, kerajaan turut mengambil langkah untuk memperbaiki kemudahan untuk ke
taman-taman negara di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, menyediakan
kemudahan tambahan di destinasi-destinasi pelancongan yang digemari ramai
seperti tempat peranginan Pulau Besar di Melaka, Kompleks Pelancongan Bersepadu
Desaru di Johor dan Kompleks Pelancongan Tasik Kenyir di Terengganu serta
pemuliharaan budaya tradisional melalui pembesaran pusat-pusat kraftangan
seperti Perkampungan Budaya Sarawak. Penambahbaikan turut dilakukan ke atas Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, menaikkan taraf Lapangan Terbang Pulau
Langkawi, pembinaan semula jeti - jeti di kawasan pelancongan utama seperti di
Kuala Tahan, Pulau Langkawi dan Pulau Tioman, serta kerja-kerja membaiki
jalan-jalan dan laluan utama keretapi di negara ini.[2]
Dalam Rancangan
Malaysia Ke – 10 ( RMK - 10 ) iaitu perancangan untuk tahun 2010 hingga 2015,
kerajaan telah memberikan fokus khusus terhadap industri pelancongan dengan sasaran
utama adalah untuk memperbaiki kedudukan Malaysia agar menjadi antara 10 negara teratas di dunia
dari segi pendapatan pelancongan global. Oleh yang demikian, beberapa strategi
utama telah dirangka dengan tumpuan akan diberikan untuk menarik lebih ramai
pelancong berbelanja tinggi dan memperluas pasaran daripada negara yang
mempunyai pertumbuhan tinggi, terutamanya
Rusia, India, China
dan Timur Tengah di
samping meningkatkan bilangan
ketibaan pelancong.[3]
Strategi utama yang dilaksanakan adalah :
- Menggalak pendekatan strategi
berbeza bagi memenuhi
corak dan keperluan pelancong yang unik dan
tersendiri seperti cabaran
alam semula jadi
( termasuk eko-pelancongan ), kepelbagaian budaya, keriangan keluarga,
kemewahan mampu biaya, dan Persidangan, Insentif, Konvensyen dan Pameran (
MICE )
- Menambah baik
produk pelancongan melalui
pembangunan kluster pelancongan berfokus yang akan memanfaatkan produk
pelancongan sedia ada dan produk pelancongan ikonik baru. Contohnya,
Langkawi ( Geopark dan Taman Laut Pulau Payar ), Pulau Pinang ( Bandaraya
George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO ), Sabah ( Pulau Sipadan dan Taman
Kinabalu Tapak Warisan Dunia UNESCO ) dan Sarawak ( Kampung Budaya Sarawak
dan Taman Negara Gunung Mulu Tapak Warisan Dunia UNESCO )
- Membangunkan produk
pelancongan ikonik yang
baru melalui penglibatan sektor
swasta dan kerjasama awam-swasta. Antara
projek ikonik tersebut
adalah Kidzania dan
Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Legoland
Malaysia di Iskandar Malaysia, Johor. Produk dan aktiviti pelancongan
seperti taman dan kebun bunga, pelancongan seni, membeli-belah, serta
acara dan festival utama juga akan dipromosikan
- Menambah baik
penyelenggaraan tempat pelancongan melalui
pelbagai pendekatan, termasuk melalui penajaan
GLC dan korporat, penguatkuasaan yang
lebih ketat dan
pengenaan bayaran masuk,
terutamanya di kawasan alam sekitar yang sensitif dan tapak warisan. [4]
- Menjajar
semula aktiviti promosi dan pengiklanan serta kewujudan pejabat Tourism
Malaysia di luar negara dengan memberi tumpuan kepada pasaran utama
khususnya Rusia, India, China dan Timur Tengah; dan
- Memperkenal
pensijilan produk dan aktiviti pelancongan secara progresif bagi
memastikan kualiti, kemampanan dan keselamatan.[5]
Pihak kerajaan
melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia turut mengambil
inisiatif dengan memperkenalkan beberapa program selaras dengan strategi –strategi
pembangunan industri pelancongan yang telah dirancang. Program ‘Malaysia My Second
Home ( MM2H )‘ merupakan satu program yang dipromosikan oleh pihak kementerian bagi
menggalakkan warga asing warga asing yang memenuhi kriteria tertentu, untuk
tinggal di Malaysia untuk seberapa lama yang boleh menerusi pas lawatan sosial pelbagai
kemasukan. Untuk permulaan, pas lawatan sosial untuk tempoh sepuluh tahun akan diberikan dan ianya boleh
diperbaharui. Program MM2H ini dibuka kepada warganegara semua negara diiktiraf
oleh Malaysia tanpa mengira kaum, agama, jantina atau umur. Pemohon dibenarkan
membawa pasangan dan anak yang belum berkahwin di bawah umur 21 tahun sebagai
tanggungannya sepanjang menyertai program ini.[6]
‘Program Pelancongan Pelajar’ pula merupakan satu program kerjasama antara
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan
Malaysia dan telah dilancarkan pada 24 Februari 2001 dengan memfokuskan kepada
matlamat utama berikut :
- Mempromosikan aktiviti pelancongan domestik bagi memupuk budaya melancong di kalangan pelajar agar melancong ke tempat-tempat bersejarah, kebudayaan, eko-pelancongan dan lain-lain;
- Menghindari gejala-gejala sosial yang semakin meningkat di kalangan pelajar pada masa kini melalui pengisian masa lapang secara bijak dan berfaedah; dan
- Mewujudkan perpaduan serta meningkatkan
integrasi kaum di kalangan generasi muda melalui aktiviti-aktiviti
pelancongan dan pengembaraan yang terancang dan teratur bagi mengeratkan
hubungan dan interaksi antara pelajar-pelajar berbilang kaum.[7]
Program ‘Pelancongan Pendidikan’ yang diterajui
oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan dibantu oleh Kementerian Pelancongan dan
Kebudayaan Malaysia dari aspek promosi pula merupakan program pelancongan dalam
suasana pendidikan dengan memfokuskan kehadiran pelajar – pelajar dari luar
negara untuk menyambung pengajian di Malaysia, di mana faktor – faktor seperti kestabilan politik, situasi dalam negara yang
aman, kemajuan teknologi dan penyelidikan serta kadar tukaran asing yang rendah
menjadikan Malaysia persekitaran yang begitu kondusif untuk tujuan pembelajaran. Program ini
dilaksanakan dengan matlamat utamanya adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat
kecemerlangan akademik di rantau Asia Pasifik.[8] Kekayaan hasil bumi
Malaysia dalam bentuk pertanian dan perladangan telah mencetuskan idea kepada
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama daripada
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selaku penggerak utama bagi
melancarkan Program ‘Agro-Pelancongan’. Menerusi program ini, Malaysia cuba
menarik perhatian pelancong asing untuk berkunjung ke negara ini bagi merasai
sendiri pengalaman menjalankan aktiviti berkaitan pertanian dan perladangan
seperti lawatan ke dusun buah-buahan tempatan, penyelidikan, ‘homestay’ dan
sebagainya.[9]
Kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Kementerian Pelancongan dan
Kebudayaan Malaysia pula telah menghasilkan Program ‘ Pelancongan Sukan ‘, di
mana fokus program ini adalah untuk menarik pelancong asing datang ke Malaysia
bagi menyertai aktiviti sukan samada sebagai peserta mahupun penonton. Seperti
diketahui umum, Malaysia sememangnya kini mempunyai fasiliti sukan yang
bertaraf dunia seperti Litar F1 Sepang dan juga Kompleks Sukan Negara. Menerusi
program ini dan disokong dengan fasiliti yang sedia ada, Malaysia kini semakin giat mempromosikan diri sebagai
penganjur dan tuan rumah kepada pelbagai kejohanan sukan dan aktiviti rekreasi
bertaraf dunia, seterusnya menjadikan Malaysia destinasi utama pelancongan
sukan di rantau Asia Pasifik.[10]
Industri pelancongan negara tidak akan mampu untuk terus berkembang maju
tanpa sokongan utuh daripada sektor swasta. Seperti yang diketahui, setiap
agenda mahupun apa jua program yang dirancang oleh kerajaan khususnya dalam
aspek pelancongan sememangnya memerlukan kos pembiayaan yang tinggi bagi
menjayakannya. Oleh yang demikian, peranan dan sumbangan dari sektor swasta
amatlah diperlukan terutamanya dalam aspek modal dan kewangan. Sebagai sebuah
sektor yang bermatlamatkan menjana keuntungan, sektor swasta di Malaysia
melihat industri pelancongan antara prospek terbaik untuk menjana keuntungan.
Oleh yang demikian, sektor swasta di negara ini begitu aktif dalam menyokong
apa jua usaha kerajaan dalam memajukan industri pelancongan. Sebagai contoh,
penglibatan dalam acara sukan seperti perlumbaan Formula Satu di Sepang dan
kejohanan lumba basikan Le’Tour de Langkawi. Kedua – dua acara sukan ini merupakan
antara program yang dianjurkan oleh kerajaan tetapi menerima penajaan yang
cukup besar daripada sektor swasta di Malaysia seperti Petronas yang bertindak
sebagai penaja utama bagi perlumbaan Formula Satu. Selain sumbangan dalam
bentuk penajaan, sektor swasta turut menyumbang dalam bentuk penyediaan
kemudahan, fasiliti dan juga peluang pekerjaan berkaitan industri pelancongan
di negara ini. Pembinaan hotel dan homestay di lokasi – lokasi pelancongan di
seluruh Malaysia, penyediaan kemudahan pengangkutan seperti bas persiaran,
kereta sewa, bot dan feri merupakan antara contoh penglibatan dan sokongan
daripada sektor swasta dalam merancakkan aktiviti pelancongan di negara ini.
Bagi menyokong dan menghargai sumbangan dan peranan sektor swasta dalam
turut sama menyumbang idea dan tenaga dalam memajukan industri pelancongan di
negara ini, pihak kerajaan telah memperkenal dan menyediakan beberapa inisiatif
bagi membantu sektor swasta, terutama kepada syarikat dan pengusaha industri pelancongan
yang berskala kecil. ‘Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan’ merupakan
satu kemudahan pembiayaan pinjaman Dana Pelancongan yang diperkenalkan bagi
membantu pengusaha yang ingin membangunkan atau mengembangkan produk – produk yang
berasaskan pelancongan dengan menawarkan pembiayaan dari RM5 juta sehingga
RM100 juta dalam tempoh pembayaran sehingga 20 tahun.[11]
Selain itu, pihak kerajaan turut menawarkan pengecualian cukai kepada syarikat –
syarikat pengusaha pelancongan yang mengendalikan pakej pelancongan dalam
Malaysia dengan bilangan yang ditetapkan dalam tempoh setahun.[12]
Pihak kerajaan turut menawarkan pelbagai jenis kursus kepada para pengusaha industri
pelancongan dengan matlamat melahirkan golongan pengusaha industri pelancongan
yang profesional, berkemahiran dan berwawasan. Antara kursus – kursus yang
ditawarkan adalah ‘We Are The Host ( WATH )’, ‘Eco – Host Malaysia ‘, ‘Hotel
Assist On The Go’ dan sebagainya.[13]
[1] Portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, ruangan ‘Profil
Kementerian’ http://www.motour.gov.my/
[2] Unit Perancang Ekonomi (1991), Rancangan Malaysia Ke-Enam 1991-1995,
Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri. hlm.171
[3] Unit Perancang Ekonomi (2010), Rancangan Malaysia Ke-Enam 2010 - 2015,
Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri. hlm.131
[5] Unit Perancang Ekonomi (2010), Rancangan Malaysia Ke-Enam 2010 - 2015,
Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri. hlm.131
[6] Portal rasmi Malaysia My Second Home, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
Malaysia, http://www.mm2h.gov.my/
[7] Portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, ruangan ‘
Program Kementerian ‘ http://www.motour.gov.my/
[10] Portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, ruangan ‘
Program Kementerian ‘ http://www.motour.gov.my/
[11] Portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, ruangan ‘
Program Kementerian ‘ http://www.motour.gov.my/
saya ingin berbagi dengan Anda semua tentang bagaimana saya mendapatkan pinjaman saya dari perusahaan pinjaman yang sangat baik dan jujur yang terdaftar di Amerika Serikat, karena saya melamar sebagai pinjaman awal, saya butuh beberapa dokumen untuk memenuhi persyaratan mereka tetapi insya Allah saya lulus dan bekerja dengan lancar sebagai pengusaha. hubungi whatsapp: +18632310632 / pedroloanss@gmail.com untuk semua jenis bantuan keuangan seperti pinjaman dan fasilitas investasi.
ReplyDelete